Sunday, 27 November 2016

6.0 KESIMPULAN



Perniagaan yang berasaskan pertanian mampu memberikan pulangan dan hasil yang lumayan serta berpadanan kepada petani dan pengusahanya. Ia juga membantu menjana ekonomi dan menggerakkan pembangunan negara. Bidang ini perlu direvolusikan supaya ia berprestij kepada golongan muda masa kini. Kebaikan bidang ini juga ia mampu mengurangkan pengimportan barang makanan dari luar negara yang menelan kos perbelanjaan yang besar. Selain itu, ia juga dapat mengelakkan penduduk yang tinggal di kawasan kampung atau pedalaman berhijrah ke kawasan Bandar demi mencari peluang pekerjaan yang lebih baik. Oleh itu, tidak hairanlah kerajaan memperuntukkan sejumlah wang yang banyak untuk membangunkan bidang pertanian kerana ia mampu membawa kepada bidang perniagaan yang lebih menguntungkan. Hal ini telah mengundang seribu satu kebaikan kepada petani, pengusaha, orang tengah dan negara.
Menyedari kepentingan pertanian, kerajaan turut memberikan tumpuan utama kepada bidang ini dengan menyenaraikan bidang pertanian di dalam Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (National Key Economic Area) (NKEA) di bawah Program Transformasi Ekonomi Malaysia (Economic Transformation Programme) (ETP). Pekerjaan dalam bidang pertanian sering dikaitkan dengan aktiviti yang kotor, tidak selesa, terdedah kepada cuaca panas dan hujan, tidak mempunyai imej yang menarik dan susah mendapat bantuan daripada kerajaan. Semua tanggapan kuno ini perlu dibersihkan bagi membina imej petani moden supaya usaha untuk melahirkan usahawan di kalangan generasi muda dapat direalisasi. Potensi bidang pertanian sebagai perniagaan yang menguntungkan akan dibazirkan begitu sahaja, sekiranya kesedaran minda masyarakat masih di takuk lama. Ini lah cabaran utama negara dalam memastikan sektor pertanian di Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa. 
Negara kita Malaysia mempunyai tanah yang subur, bebas daripada bencana alam atau keadaan huru-hara yang boleh memusnahkan sebarang kegiatan ekonomi. Jika kelebihan ini tidak dimanfaatkan, bermakna kita telah mensia-siakan anugerah sumber perniagaan yang ada. Melalui strategi-strategi yang telah disusun oleh kerajaan demi untuk membantu masyarakat tani di Malaysia, ‘Pertanian adalah perniagaan’ sudah pasti akan dapat dilaksanakan sekiranya kita sama-sama mencari jalan untuk memperhebatkan bidang pertanian dengan cara menjadikannya sebagai salah satu sumber pendapatan kita.

5.0 SOKONGAN DAN BANTUAN KERAJAAN KEPADA PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN



Bidang pertanian dilihat sebagai satu sektor yang mampu bersaing dalam perniagaan. Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan lagi, kerajaan telah mewujudkan pelbagai jabatan dan agensi dalam usaha membangunkan dan memajukan bidang pertanian demi memastikan pengusaha pertanian dapat menghasilkan jumlah pengeluaran mencukupi bagi menampung permintaan di pasaran.

5.1 Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)
FELDA ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 untuk pembangunan tanah dan penempatan semula dengan objektif pembasmian kemiskinan melalui penanaman tanaman minyak sawit dan getah. Antara fungsi FELDA adalah untuk melaksanakan projek-projek pembangunan tanah dan aktiviti pertanian, perindustrian dan komersil sosial ekonomi.
Pada masa ini FELDA menjalankan peranan utama dengan menyediakan kemudahan yang mencukupi dan moden di rancangan FELDA, memastikan generasi peneroka seterusnya berpendidikan tinggi untuk meningkatkan sosio ekonomi dan kualiti hidup mereka seterusnya memastikan rancangan FELDA dapat menjana pelbagai aktiviti ekonomi di samping merapatkan jurang antara Bandar dan kawasan Bandar kecil.

            5.2 Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)
MARDI ditubuhkan pada 28 Oktober 1969 di bawah Akta MARDI 1969. Objektif utama MARDI adalah untuk menjana dan mempromosi teknologi baru, wajar dan efisyen untuk kemajuan industri makanan, pertanian dan industri asas tani. MARDI memainkan peranan seperti berikut:-
                                i.            Menjalankan penyelidikan dari segi sains, teknikal, ekonomi dan sosial berkenaan dengan pengeluaran, penggunaan dan pemprosesan segala tanaman (kecuali getah, kelapa sawit dan koko), ternakan dan makanan serta perladangan campuran.
                              ii.            Berkhidmat sebagai pusat pengumpulan dan penyebaran maklumat dan nasihat berkenaan dengan perkara saintifik, teknikal dan ekonomi yang berkaitan dengan industri makanan dan pertanian serta industri asas tani. Fungsi ini dilakukan melalui pelbagai kaedah termasuk penerbitan laporan, terbitan berkala dan kertas kerja berhubung dengan nya serta mengelolakan pameran, persidangan, syarahan dan seminar.
                            iii.            Menjadi pusat yang memberikan perkhidmatan pakar dalam industri makanan dan pertanian serta industri asas tani seperti perkhidmatan perundingan, makmal analisis, jaminan kualiti serta R&D kontrak.
                            iv.            Memberi pelbagai jenis latihan untuk memajukan industri makanan dan pertanian serta industri asas tani.
                              v.            Memberi geran untuk R&D dalam bidang sains tulen, sains gunaan, teknikal dan ekonomi berkenaan dengan industri pertanian.
                            vi.            Mengekalkan hubungan dengan organisasi awam atau swasta dalam dan luar negara yang terlibat dalam penyelidikan saintifik, teknikal, ekonomi dan sosial berkenaan dengan industri makanan dan pertanian serta industri asas tani.
                          vii.            Menjalankan penyelidikan dan pengeluaran berbentuk komersil.
                        viii.            Membangun, mempromosi dan mengeksploitasi penemuan penyelidikan.
                            ix.            Memberi perkhidmatan pengembangan kepada industri makanan dan pertanian serta industri asas tani.

5.3 Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)
FAMA pula merupakan sebuah agensi pemasaran di bawah Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani yang bertanggungjawab dalam pemasaran produk agromakanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta produk-produk industri asas tani. Selain daripada itu, FAMA berperanan dalam memastikan produk pertanian dan industri asas tani tersedia dan boleh diperolehi pada harga yang mampu dibayar oleh pengguna. FAMA juga berusaha untuk memperkukuhkan bekalan melalui program ladang kontrak, memperluaskan akses pasaran dan meningkatkan promosi pasaran tempatan dan eksport.
FAMA juga mempunyai satu pelan strategik jangka panjang bagi meningkatkan dan meluaskan pasaran produk pertanian serta memacu transformasi pemasaran iaitu
                      i.        Peningkatan bekalan hasil pertanian
                    ii.        Peningkatan akses pasaran
                   iii.        Peningkatan bilangan usahawan tani agromakanan
                   iv.        Penjanaan pendapatan kumpulan sasar bagi kalangan petani dan juga usahawan petani
                    v.        Peningkatan kecekapan khidmat pemasaran

            5.4 Lembaga Pertubuhan Peladang
Lembaga Pertubuhan Peladang juga memainkan peranan yang sama penting bagi membantu mempertingkatkan ekonomi dan sosial masyarakat tani dibawah satu badan berperanan khusus. Objektif penubuhan Lembaga Pertubuhan Peladang adalah untuk meningkatkan taraf ekonomi dan sosial, menambah pengetahuan dan kemahiran, meninggikan hasil dan pendapatan dan membaiki cara hidup ahli-ahli serta mewujudkan masyarakat peladang yang progresif, berdikari, makmur dan bersepadu.
Di antara peranannya adalah untuk meningkatkan daya pengeluaran peladang menerusi penyediaan perkhidmatan, meningkatkan pertumbuhan sector pertanian yang pesat menerusi usaha penyusunan semula pertanian. Di samping itu, Lembaga Pertubuhan Peladang berperanan untuk meningkatkan bidang perniagaan dan pertumbuhan pelaburan dalam bidang pertanian,meningkatkan taraf sosioekonomi dan kualiti penghidupan peladang dan mengimbangi pembangunan perusahaan asas tani di kawasan luar bandar.

5.5 Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)
MPOB berperanan membantu dalam sektor pertanian khususnya kelapa sawit.  MPOB di pertanggungjawabkan untuk meneraju dan membangunkan industri sawit negara. Industri ini merupakan bahan eksport utama ke luar negara contohnya ke Amerika Syarikat. Hasil daripada penyelidikan ini juga, penemuan teknologi dan inovasi baru telah dikomersialkan. Contohnya penggunaan biojisim dan biodiesel, penjenteraan lading serta kawalan serangga dan penyakit. Oleh itu, bantuan kementerian ini amat diperlukan.

5.6 Bank Pertanian Malaysia (AGROBank)
AGROBank yang dahulunya dikenali sebagai Bank Pertanian Malaysia, merupakan sebuah bank milik kerajaan di bawah naungan Kementerian Kewangan dan juga ahli Institusi Pembiayaan Mikro (MFI) kelolaan Bank Negara Malaysia, di atas dasar yang ditetapkan oleh Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani. Penubuhan Agrobank pada 1969 selaras dengan langkah kerajaan untuk menjalankan projek pengairan bagi menampung penanaman padi sebanyak dua kali setahun di negeri Kedah dan Perlis. Agrobank menyediakan bantuan kredit kepada petani dan telah muncul sebagai pembekal perkhidmatan kredit terbesar kepada sektor pertanian luar Bandar. Agrobank juga telah menawarkan Modal Usahawan 1 Malaysia kepada petani untuk mengusahakan industri kecil dan sederhana IKS yang berasaskan pertanian.

4.0 CABARAN DAN HALANGAN BIDANG PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN



Halangan atau cabaran bidang perniagaan berasaskan pertanian semakin mendapat perhatian daripada pelbagai pihak dewasa ini. Pertanian kini tidak mendapat sumber sekunder kepada pembangunan ekonomi negara lagi. Sektor ini giat dibangunkan, selaras dengan pembangunan negara. Malangnya,terdapat halangan yang menyekat pembangunan perniagaan berasaskan pertanian di negara kita.
Beberapa cabaran yang dihadapi bagi bidang perniagaan ini antaranya seperti ketiadaan teknologi terkini serta kepakaran sokongan didalam bidang pertanian, kekurangan pekerja dan kekurangan ilmu pengetahuan untuk meningkatkan daya pengeluaran pertanian. Kurangnya pendedahan terhadap sektor pertanian kepada golongan belia juga menjadikan kurangnya minat dan penglibatan mereka kepada pertanian. belia yang tidak mahu menceburi pertanian juga merasakan tiada sokongan dan bantuan yang diberikan oleh pihak berwajib untuk menjayakan pertanian. Di samping itu, kekurangan sumber kewangan, tanah, peralatan pertanian dan maklumat aktiviti pertanian juga menyumbang kepada kurangnya penglibatan belia dalam pertanian.
Selain itu juga, kekurangan benih merupakan antara halangan yang melanda bidang pertanian. Kebanyakan anak benih kini diimport dari luar mahupun dalam negara. Hal ini sudah pasti akan menyebabkan kos pengeluaran akan meningkat. Halangan yang lain dalam perniagaan berasaskan pertanian ialah usia petani yang sudah lanjut saban hari. Tenaga buruh dalam sektor pertanian rata-ratanya melebihi usia 55 tahun mengikut statistik yang diambil oleh jawatankuasa Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani. Keadaan ini berpunca daripada penghijrahan golongan belia yang ramai ke bandar-bandar besar atau di ibu kota untuk mencari peluang pekerjaan. Masalah ini juga berpunca daripada kurangnya minat sesetengah pihak terhadap sektor pertanian. Golongan belia berpendapat, bahawa pekerjaan dalam sektor pertanian hanya layak dilakukan oleh golongan yang sudah berusia ataupun sudah pencen. Bagi mereka ,pertanian hanyalah satu bidang yang dijalankan untuk mengisi masa lapang.Mereka lebih senang menghabiskan masa dengan bekerja dalam sektor perkilangan, mahupun automotif dan sebagainya. 
Disamping itu, masalah modal juga dikesan sebagai salah satu cabaran dan halangan. Ini adalah kerana modal merupakan salah satu input penting didalam apa jua kegiatan ekonomi. Begitu juga dengan aktiviti pertanian, modal memang sangat diperlukan bagi menanggung kos-kos pengeluaran. Pengusaha pertanian menghadapi halangan modal dari segi untuk menggunakan semula modal dalam aktiviti pertanian itu sendiri. Kebanyakan pengusaha mengalami kekangan kewangan untuk membeli alatan pertanian dan perkakas-perkakas lain yang diperlukan. Antara yang menyebabkan masalah dalam kekurangan modal ini ialah kekurangan kemudahan kredit dan input. Pengeluaran pertanian dapat dtingkatkan sekiranya wujud kemudahan kredit dan penggunaan input pertanian yang dirancang dengan baik dari segi penghantaran dan penggunaannya.

3.0 POTENSI BIDANG PERTANIAN SEBAGAI PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN



Bidang pertanian berpotensi sebagai perniagaan yang menguntungkan dan merupakan perkara yang menjadi asas pegangan petani atau sesiapa sahaja yang mengusahakan bidang pertanian itu sendiri. Bidang pertanian dilihat berpotensi tinggi untuk dibawa ke peringkat antarabangsa kerana hasil keluarannya mempunyai kualiti yang tinggi dan setanding dengan negara-negara pertanian yang lain. Malaysia juga mampu mengeksport hasil tanaman dalam kuantiti yang banyak kerana tanah di Malaysia sangat subur, luas dan sesuai untuk bidang pertanian.
Untuk memastikan pertanian yang diusahakan menguntungkan, usahawan tani perlu bersedia untuk  mengubah cara berfikir, bertindak dan membuat keputusan sebagai seorang usahawan. Setiap perbelanjaan dan pendapatan hendaklah direkod bagi mengetahui untung atau rugi sesuatu projek yang diusahakan. Perhatian yang berat harus diberikan terhadap trend pasaran, risiko dalam bidang pertanian, keadaan persekitaran, cuaca dan lain-lain yang berkaitan dengan faktor pengeluaran.
Selain itu, bagi memastikan bidang pertanian merupakan perniagaan yang menguntungkan dan mampu memberikan kekayaan, aspek kuantiti dan kualiti sentiasa dipertingkatkan. Kualiti produk yang dihasilkan akan menentukan harga pasaran hasil yang akan dijual. Keutamaan hendaklah diberika bagi menambahkan lagi daya saing produk yang dihasilkan, proses nilai tambah seperti pemprosesan, penggredan, pembungkusan dan pemasaran perlu juga diberikan keutamaan.
Pertanian dalam negara mampu berdaya saing sekiranya semua pengusaha dalam bidang pertanian turut mengambilkira program pensijilan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Pengusaha-pengusaha pertanian boleh mendapatkan pengiktirafan melalui pensijilan Amalan Pertanian Baik (APB) seperti sijil Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) daripada Jabatan Pertanian Malaysia, Sijil Amalan Ladang Ternakan (SALT) daripada Jabatan Perkhidmatan Haiwan Malaysia dan Skim Pensijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM) daripada Jabatan Perikanan Malaysia. Selain daripada produk yang dikeluarkan berkualiti dan selamat untuk dimakan, pensijilan diperolehi secara tidak langsung dapat menepati piawaian pengeluaran antarabangsa yang membolehkan hasil keluaran dipasarkan ke luar negara.
Selain itu, pengeluaran dan penggunaan biofuel berasaskan minyak sawit atau biofuel minyak sawit turut dilihat mampu untuk menjadi sumber pertumbuhan baru ekonomi negara. Kaedah ini telah digunakan di beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) sebagai bahan api untuk pengangkutan dan industri. Di negara Jerman, biofuel digunakan bagi keretapi komersil dengan prestasi yang baik. Permintaan pasaran bagi biofuel minyak sawit ini adalah amat menggalakan. Pada tahun 2004, permintaan bagi biofuel dunia ialah sebanyak 2.5 juta tan dan dijangka meningkat pada kadar 25 peratus setahun.
Perjalanan untuk menjadikan sektor tersebut sebagai satu perniagaan yang menguntungkan memerlukan pembudayaan keusahawanan dalam pertanian supaya dapat melahirkan satu generasi usahawan tani bagi menerajui usaha merevolusikan sektor pengeluaran makanan.