Bidang pertanian berpotensi sebagai
perniagaan yang menguntungkan dan merupakan perkara yang menjadi asas pegangan
petani atau sesiapa sahaja yang mengusahakan bidang pertanian itu sendiri.
Bidang pertanian dilihat berpotensi tinggi untuk dibawa ke peringkat
antarabangsa kerana hasil keluarannya mempunyai kualiti yang tinggi dan
setanding dengan negara-negara pertanian yang lain. Malaysia juga mampu
mengeksport hasil tanaman dalam kuantiti yang banyak kerana tanah di Malaysia
sangat subur, luas dan sesuai untuk bidang pertanian.
Untuk memastikan pertanian yang
diusahakan menguntungkan, usahawan tani perlu bersedia untuk mengubah
cara berfikir, bertindak dan membuat keputusan sebagai seorang usahawan. Setiap
perbelanjaan dan pendapatan hendaklah direkod bagi mengetahui untung atau rugi
sesuatu projek yang diusahakan. Perhatian yang berat harus diberikan terhadap
trend pasaran, risiko dalam bidang pertanian, keadaan persekitaran, cuaca dan
lain-lain yang berkaitan dengan faktor pengeluaran.
Selain itu, bagi memastikan bidang
pertanian merupakan perniagaan yang menguntungkan dan mampu memberikan
kekayaan, aspek kuantiti dan kualiti sentiasa dipertingkatkan. Kualiti produk
yang dihasilkan akan menentukan harga pasaran hasil yang akan dijual. Keutamaan
hendaklah diberika bagi menambahkan lagi daya saing produk yang dihasilkan,
proses nilai tambah seperti pemprosesan, penggredan, pembungkusan dan pemasaran
perlu juga diberikan keutamaan.
Pertanian dalam negara mampu berdaya
saing sekiranya semua pengusaha dalam bidang pertanian turut mengambilkira
program pensijilan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri
Asas Tani. Pengusaha-pengusaha pertanian boleh mendapatkan pengiktirafan
melalui pensijilan Amalan Pertanian Baik (APB) seperti sijil Skim Amalan Ladang
Baik Malaysia (SALM) daripada Jabatan Pertanian Malaysia, Sijil Amalan Ladang
Ternakan (SALT) daripada Jabatan Perkhidmatan Haiwan Malaysia dan Skim
Pensijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM) daripada Jabatan Perikanan Malaysia.
Selain daripada produk yang dikeluarkan berkualiti dan selamat untuk dimakan,
pensijilan diperolehi secara tidak langsung dapat menepati piawaian pengeluaran
antarabangsa yang membolehkan hasil keluaran dipasarkan ke luar negara.
Selain itu, pengeluaran dan penggunaan
biofuel berasaskan minyak sawit atau biofuel minyak sawit turut dilihat mampu
untuk menjadi sumber pertumbuhan baru ekonomi negara. Kaedah ini telah
digunakan di beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) sebagai bahan api untuk
pengangkutan dan industri. Di negara Jerman, biofuel digunakan bagi keretapi
komersil dengan prestasi yang baik. Permintaan pasaran bagi biofuel minyak
sawit ini adalah amat menggalakan. Pada tahun 2004, permintaan bagi biofuel
dunia ialah sebanyak 2.5 juta tan dan dijangka meningkat pada kadar 25 peratus
setahun.
Perjalanan untuk menjadikan sektor
tersebut sebagai satu perniagaan yang menguntungkan memerlukan pembudayaan
keusahawanan dalam pertanian supaya dapat melahirkan satu generasi usahawan
tani bagi menerajui usaha merevolusikan sektor pengeluaran makanan.
No comments:
Post a Comment