Sunday, 27 November 2016

5.0 SOKONGAN DAN BANTUAN KERAJAAN KEPADA PERNIAGAAN BERASASKAN PERTANIAN



Bidang pertanian dilihat sebagai satu sektor yang mampu bersaing dalam perniagaan. Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan lagi, kerajaan telah mewujudkan pelbagai jabatan dan agensi dalam usaha membangunkan dan memajukan bidang pertanian demi memastikan pengusaha pertanian dapat menghasilkan jumlah pengeluaran mencukupi bagi menampung permintaan di pasaran.

5.1 Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)
FELDA ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 untuk pembangunan tanah dan penempatan semula dengan objektif pembasmian kemiskinan melalui penanaman tanaman minyak sawit dan getah. Antara fungsi FELDA adalah untuk melaksanakan projek-projek pembangunan tanah dan aktiviti pertanian, perindustrian dan komersil sosial ekonomi.
Pada masa ini FELDA menjalankan peranan utama dengan menyediakan kemudahan yang mencukupi dan moden di rancangan FELDA, memastikan generasi peneroka seterusnya berpendidikan tinggi untuk meningkatkan sosio ekonomi dan kualiti hidup mereka seterusnya memastikan rancangan FELDA dapat menjana pelbagai aktiviti ekonomi di samping merapatkan jurang antara Bandar dan kawasan Bandar kecil.

            5.2 Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)
MARDI ditubuhkan pada 28 Oktober 1969 di bawah Akta MARDI 1969. Objektif utama MARDI adalah untuk menjana dan mempromosi teknologi baru, wajar dan efisyen untuk kemajuan industri makanan, pertanian dan industri asas tani. MARDI memainkan peranan seperti berikut:-
                                i.            Menjalankan penyelidikan dari segi sains, teknikal, ekonomi dan sosial berkenaan dengan pengeluaran, penggunaan dan pemprosesan segala tanaman (kecuali getah, kelapa sawit dan koko), ternakan dan makanan serta perladangan campuran.
                              ii.            Berkhidmat sebagai pusat pengumpulan dan penyebaran maklumat dan nasihat berkenaan dengan perkara saintifik, teknikal dan ekonomi yang berkaitan dengan industri makanan dan pertanian serta industri asas tani. Fungsi ini dilakukan melalui pelbagai kaedah termasuk penerbitan laporan, terbitan berkala dan kertas kerja berhubung dengan nya serta mengelolakan pameran, persidangan, syarahan dan seminar.
                            iii.            Menjadi pusat yang memberikan perkhidmatan pakar dalam industri makanan dan pertanian serta industri asas tani seperti perkhidmatan perundingan, makmal analisis, jaminan kualiti serta R&D kontrak.
                            iv.            Memberi pelbagai jenis latihan untuk memajukan industri makanan dan pertanian serta industri asas tani.
                              v.            Memberi geran untuk R&D dalam bidang sains tulen, sains gunaan, teknikal dan ekonomi berkenaan dengan industri pertanian.
                            vi.            Mengekalkan hubungan dengan organisasi awam atau swasta dalam dan luar negara yang terlibat dalam penyelidikan saintifik, teknikal, ekonomi dan sosial berkenaan dengan industri makanan dan pertanian serta industri asas tani.
                          vii.            Menjalankan penyelidikan dan pengeluaran berbentuk komersil.
                        viii.            Membangun, mempromosi dan mengeksploitasi penemuan penyelidikan.
                            ix.            Memberi perkhidmatan pengembangan kepada industri makanan dan pertanian serta industri asas tani.

5.3 Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)
FAMA pula merupakan sebuah agensi pemasaran di bawah Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani yang bertanggungjawab dalam pemasaran produk agromakanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan serta produk-produk industri asas tani. Selain daripada itu, FAMA berperanan dalam memastikan produk pertanian dan industri asas tani tersedia dan boleh diperolehi pada harga yang mampu dibayar oleh pengguna. FAMA juga berusaha untuk memperkukuhkan bekalan melalui program ladang kontrak, memperluaskan akses pasaran dan meningkatkan promosi pasaran tempatan dan eksport.
FAMA juga mempunyai satu pelan strategik jangka panjang bagi meningkatkan dan meluaskan pasaran produk pertanian serta memacu transformasi pemasaran iaitu
                      i.        Peningkatan bekalan hasil pertanian
                    ii.        Peningkatan akses pasaran
                   iii.        Peningkatan bilangan usahawan tani agromakanan
                   iv.        Penjanaan pendapatan kumpulan sasar bagi kalangan petani dan juga usahawan petani
                    v.        Peningkatan kecekapan khidmat pemasaran

            5.4 Lembaga Pertubuhan Peladang
Lembaga Pertubuhan Peladang juga memainkan peranan yang sama penting bagi membantu mempertingkatkan ekonomi dan sosial masyarakat tani dibawah satu badan berperanan khusus. Objektif penubuhan Lembaga Pertubuhan Peladang adalah untuk meningkatkan taraf ekonomi dan sosial, menambah pengetahuan dan kemahiran, meninggikan hasil dan pendapatan dan membaiki cara hidup ahli-ahli serta mewujudkan masyarakat peladang yang progresif, berdikari, makmur dan bersepadu.
Di antara peranannya adalah untuk meningkatkan daya pengeluaran peladang menerusi penyediaan perkhidmatan, meningkatkan pertumbuhan sector pertanian yang pesat menerusi usaha penyusunan semula pertanian. Di samping itu, Lembaga Pertubuhan Peladang berperanan untuk meningkatkan bidang perniagaan dan pertumbuhan pelaburan dalam bidang pertanian,meningkatkan taraf sosioekonomi dan kualiti penghidupan peladang dan mengimbangi pembangunan perusahaan asas tani di kawasan luar bandar.

5.5 Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)
MPOB berperanan membantu dalam sektor pertanian khususnya kelapa sawit.  MPOB di pertanggungjawabkan untuk meneraju dan membangunkan industri sawit negara. Industri ini merupakan bahan eksport utama ke luar negara contohnya ke Amerika Syarikat. Hasil daripada penyelidikan ini juga, penemuan teknologi dan inovasi baru telah dikomersialkan. Contohnya penggunaan biojisim dan biodiesel, penjenteraan lading serta kawalan serangga dan penyakit. Oleh itu, bantuan kementerian ini amat diperlukan.

5.6 Bank Pertanian Malaysia (AGROBank)
AGROBank yang dahulunya dikenali sebagai Bank Pertanian Malaysia, merupakan sebuah bank milik kerajaan di bawah naungan Kementerian Kewangan dan juga ahli Institusi Pembiayaan Mikro (MFI) kelolaan Bank Negara Malaysia, di atas dasar yang ditetapkan oleh Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani. Penubuhan Agrobank pada 1969 selaras dengan langkah kerajaan untuk menjalankan projek pengairan bagi menampung penanaman padi sebanyak dua kali setahun di negeri Kedah dan Perlis. Agrobank menyediakan bantuan kredit kepada petani dan telah muncul sebagai pembekal perkhidmatan kredit terbesar kepada sektor pertanian luar Bandar. Agrobank juga telah menawarkan Modal Usahawan 1 Malaysia kepada petani untuk mengusahakan industri kecil dan sederhana IKS yang berasaskan pertanian.

No comments:

Post a Comment